Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sarawak telah menganjurkan Bengkel Promosi Sekolah Lestari–Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) bagi Sesi 2025/2026 sempena sambutan Hari Ozon Sedunia 2025 Peringkat Negeri Sarawak pada 23 September 2025, bertempat di Auditorium Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Kuching. Bengkel ini telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan John anak Rampai, Pengarah, Jabatan Alam Sekitar Negeri Sarawak.
Tujuan utama bengkel ini adalah untuk mempromosikan pelaksanaan Program SLAAS bagi kitaran ke-10 sesi 2025/2026. Para guru dari Sekolah Rendah dan Menengah di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian serta wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Kuching dan Padawan telah menghadiri bengkel ini. Sepanjang bengkel, para peserta telah diberi pendedahan mengenai latar belakang, kaedah pelaksanaan, komponen serta penilaian program SLAAS, termasuk penggunaan sistem MySLAAS. Turut dikongsikan ialah inisiatif-inisiatif lestari yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah serta sesi perkongsian video-video daripada sekolah yang pernah memenangi program SLAAS dalam sesi terdahulu.
Diharapkan bengkel ini dapat memberikan pencerahan kepada warga pendidik berkenaan pelaksanaan program SLAAS, sekali gus menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada sekolah-sekolah di Negeri Sarawak.